Rajuk Rokiah

Petang itu Rokiah tergamam menerima panggilan kekandanya, mengatakan Tuk Long sudah pulang ke rahmatullah.


Sebaik sahaja berita pemergian Tuk Long kesayangan yang sudah lama tidak dijenguknya, Rokiah terduduk lesu di kerusi pejabat. Fikirannya tiba-tiba buntu. Timbul sejuta kekesalan kerana jarak tempat kerjanya di Damansara dan kondo Tuk Long di Jalan Ipoh bukanlah satu alasan yang kukuh untuk tidak menerima pelawaan orang tua itu bulan lepas.Titisan air mata mula bergenang dan jatuh satu persatu. Laporan yang baru disiapkan digenggam erat dan dipenuhi dakwat basah.


Rokiah bukanlah seorang manusia yang lupa diri kepada sanak saudara. Ada sebab sendiri Rokiah membawa diri. Menolak pelawaan mana-mana ahli keluarga sebelah ibu untuk bertandang ke rumah, atau membantu menguruskan kenduri.


Memikirkan betapa dirinya yang alpa dengan tuntutan kerja dan tanggungjawab lain sebagai ketua keluarga, seribu penyesalan menolak pelawaan datuk untuk singgah di restoran baru di Sentul tempoh hari tidak berguna lagi. Ya kali terakhir Rokiah menatap wajah datuk saudara yang sering mengusik Rokiah dengan jenaka dan tawanya itu pada 15 tahun dahulu dan ketika itu juga Rokiah berazam untuk tidak menemui orang tua itu lagi.


Rokiah harus berani. Berani mengiringi pemergian Tuk Long dan memberi penghormatan terakhir kepada orang tua itu.

Tuk Long tidak bersalah, buat apa dikenangkan kisah lampau?

Kisah lampau yang membuat Rokiah secara tidak langsung cuba mengingati punca dia membawa diri.

Ya, Rokiah merajuk. Rajuk Rokiah tidak berpenghujung. Rajuk kepada Tuk Long bukan kerana orang tua itu tetapi dosa anak sulungnya Sazali yang mengubah segala-galanya buat Rokiah.

Makin lama makin diingatkan semula, jiwa Rokiah dimarakkan dengan rasa dendam dan marah yang membuak-buak. Sedaya upaya dia cuba melawan perasaan. Wajah tenang dengan senyuman arwah bermain-main di benak kepala. Tuk Long adalah manusia yang mulia.

"Argh, persetankan jantan itu. Aku harus menemui isteri arwah dan membantu sedaya yang boleh."

Petang itu, Rokiah menunggu kekandanya dalam gelisah. Pada waktu yang sama, dia meminta diberikan segala kekuatan untuk menghadapi lelaki durjana itu. Lelaki yang bakal mewarisi empayar perniagaan Tuk Long. Lelaki yang sentiasa mengambil kesempatan ke atas kelemahan orang lain.

Di tanah perkuburan, kelihatan beberapa saudara mara duduk membaca surah di tanah merah yang baru dikorek. Rokiah menerpa ke arah Nek Long, memeluk erat orang tua itu dan meminta ampun.

Tuk Long sudah tiada. Hanya jasad yang bakal bersemadi di tanah perkuburan itu adalah tinggalan yang sudah tidak bererti lagi buat Rokiah.

Benar sangkaan Rokiah. Lelaki itu masih hidup dan terkejut melihat kedatangan Rokiah secara tiba tiba. Sudah banyak berbeza keadaan Sazali berbanding 15 tahun dahulu.

Betapa jijik perasaan Rokiah melihat kealiman jantan yang bertopengkan manusia bernafsukan syaitan menurunkan jasad Tuk Long ke liang lahad. Mual dan benci melihat senyuman Sazali seolak-olak mengejeknya kerana datang kalah menyerah.

Ya, Rokiah kini berani. Rokiah kini Rokiah generasi alaf baru. Tidak menyerah jiwa menjadi mangsa korban membunuh diri kerana hampir kehilangan maruah.

Rokiah perlahan-lahan meninggalkan pusara tuk long. Hidup masih perlu diteruskan. Biarlah rahsia peristiwa lampau berkubur bersama jasad tuk long.

Dia menarik nafas lega sebaik sahaja pusara itu hilang dari pandangan.

Comments

Popular Posts